Zul ertinya "yang empunya". Qa'edah ertinya "duduk". Ini membawa erti bahawa bulan Zulkaedah ialah bulan untuk berehat-rehat.
Sejak dari dahulu lagi, sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab telah mengiktiraf bahawa Zulkaedah adalah satu bulan daripada empat bulan yang mulia dan diharamkan berperang. Maka masyarakat Arab jahiliah tidak keluar berperang pada bulan ini.
Selain Zulkaedah, bulan Zulhijjah, Muharram dan Rejab juga adalah bulan haram (bulan yang dimuliakan dan diharamkan berperang ). Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah SAW mengekalkan kemuliaan empat bulan haram ini, mengekalkan namanya dan mengharamkan berperang padanya. Bersempena inilah dinamakan ia dengan "Zulkaedah".
KELEBIHAN BULAN ZULKAEDAH
Bulan
Zulkaedah adalah satu dari empat bulan haram. Bulan haram adalah bulan
yang amat dimuliakan. Bulan haram adalah bulan persaudaraan, perdamaian
dan kemaafan. Masyarakat kafir Quraisy menangguhkan permusuhan dan
peperangan di bulan haram maka kita sebagai umat
Islam hendaklah lebih menghormati bulan bulan haram ini. Eratkan
silaturrahim, yang bermusuh, damaikanlah, yang berdendam, berlapanglah
dan yang renggang, rapatkanlah, InsyaAllah hidup penuh berkat dan
harmoni. Tiada ibadah khusus dalam bulan Zulkaedah.
Bulan
Zulkaedah adalah bulan permulaan musim haji. Namun begitu sebahagian
besar ulamak mengatakan bahawa umrah adalah lebih afdhal di bulan
Zulkaedah berdasarkan Rasulullah SAW mengerjakan umrah-umrah beliau di
bulan Zulkaedah dan haji tamattu' juga dimulakan di bulan Zulkaedah.
Daripada Abu Bakrah : sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya:
Sesungguhnya
zaman itu berputar sejak awal waktu Allah menjadikan langit-langit dan
bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan ini, darinya empat bulan
haram, tiga dari empat bulan ini berturut-turutan iaitu Zulkaedah,
Zulhijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan ialah Rejab di antara Jamadil Akhir dan Sya'aban.
PERISTIWA BERSEJARAH
1. Peperangan Bani Quraizah
Peperangan
ini berlaku pada tahun ke 5 Hijrah. Setelah tentera Ahzab telah
ditewaskan maka malaikat Jibril AS telah memberitahu Rasulullah SAW
bahawa Allah SWT telah memerintahkan Nabi SAW agar pergi ke perkampungan
Bani Quraizah. Bani Quraizah ialah satu puak Yahudi yang telah terlibat
bergabung dengan tentera Ahzab, mengepung umat Islam semasa perang
Ahzab. Rasulullah SAW yang masih belum sempat melucutkan pakaian
perangnya telah mengerah tentera Islam mengepung perkampungan Bani
Quraizah sehinggalah mereka menyerah kalah.
2. Perjanjian Hudaibiyah
Peristiwa ini terjadi pada bulan Zulkaedah, penghujung tahun ke 6 Hijrah. Antara sebab berlaku Perjanjian Hudaibiyah tersebut, Nabi SAW mengumumkan kepada kaum muslimin keinginan baginda Rasulullah SAW untuk berangkat pergi ke Mekkah bagi melaksanakan satu lagi ibadah iaitu dengan menunaikan ibadah umrah.
Hasil pengumuman tersebut yang diberitahu itu telah mendapat sambutan yang sangat baik oleh sekitar 1400 orang sahabat dari kaum Muhajirin dan Ansar pada masa itu. Nabi Muhammad SAW berihram untuk ibadah umrah tersebut ditengah perjalanan dan membawa bersama-sama binatang yang boleh disembelih atau dikorbankan (al- hadyu) supaya ianya menjadi pentunjuk atau sebagai memberitahu kepada orang-orang lain bahawa Nabi Muhammad SAW keluar sedemikian bukan bermaksud untuk berperang tetapi ianya semata-mata untuk menziarah ke Baitulullah iaitu Ka'abah, bagi menunaikan ibadah Umrah tersebut.
Dalam perjalanan ke Makkah, Rasulullah SAW telah disekat oleh kafir Quraisy dan dihalang dari memasuki Makkah. Berlaku beberapa perundingan dan ia membawa kepada perjanjian damai yang dinamakan "Perjanjian Hudaibiyah". Dalam perjanjian itu, Rasulullah SAW dibenarkan memasuki Makkah dan mengerjakan umrah hanya pada tahun hadapan serta tahun seterusnya dan gencatan senjata selama sepuluh tahun diantara Makkah dan Madinah.
3. Bai'atur Ridwan
Peristiwa
ini berlaku sebelum terjadinya Perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah SAW
telah mengutus Usman RA ke Makkah untuk membahas masalah mengapa
rombongan Rasulullah SAW dihalang dari memasuki Makkah untuk mengerjakan
umrah. Sesampainya di sana Usman bin Affan RA ditahan selama beberapa
waktu oleh orang-orang Quraisy. Dalam pada itu sampailah berita kepada
Nabi Muhammad SAW bahawa Usman bin Affan RA telah mati dibunuh oleh
orang-orang Quraisy. Maka Nabi Muhammad SAW dengan lantangnya menyatakan
tekadnya : "Kami
tidak akan tinggal diam, hingga kami berhasil menumpas kaum Quraisy".
Kemudian Rasulullah SAW mengajak berbai'ah. Maka terjadilah Bai'atur
Ridhwan di bawah sebatang pohon di tempat tersebut. Bai'ah yang
dimaksudkan ialah satu perjanjian yang berlaku antara Nabi Muhammad SAW
bersama para-para sahabat yang ada ketika itu untuk bersatu padu dan
bekerjasama menentang orang-orang kafir Quraisy. Para sahabat berbai'ah
kepada Nabi Muhammad SAW untuk tidak takut dan lari meninggalkan medan
perang sebagai tanda membalas dendam di atas kematian yang menimpa
sahabat baginda Rasulullah SAW.
Sementara itu Rasulullah SAW menepukkan
tangannya yang satu ke tangan yang lain seraya berkata : "Pembai'ahtan
ini untuk Usman bin Affan". Setelah pembai'athan tersebut, yang mana
telah didengari oleh pihak orang-orang Quraisy, barulah datang berita
yang menyampaikan kepada Rasulullah SAW bahawa khabar terbunuhnya Usman
bin Affan itu tidak benar.
4. Berlakunya Haji Wida'
Pada
tanggal 25 Zulkaedah tahun ke 10 Hijrah, Rasulullah SAW meninggalkan
Kota Madinah untuk menuju ke Kota Makkah bagi menunaikan Haji Wida'
(Haji Penghabisan), baginda disertai seramai 10,000 kaum muslimin. Haji
tersebut adalah haji pertama Rasulullah SAW dan yang terakhir bagi
baginda. Rasulullah SAW hanya mengerjakan sekali sahaja ibadah haji dan
empat kali ibadah umrah sepanjang umurnya mengikut catatan sejarah.