22 December 2011

Jadikan Allah 'Majikan Tertinggi'

Sel, 18 Jan 2011 20:32 | Julida Mohd Zaini | Team Tabloid (Link)
Lalalala..Hari-hari kerja! Bosan dengan kerja...

Memang mengena lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan Meet Uncle Hussein ini. Kadang-kala kita berasa penat dan bosan dengan pekerjaan yang sedang kita lakukan.

Mahu saja rasanya letak jawatan dan duduk di rumah 'goyang kaki'. Namun, apabila terbayangkan wang ringgit yang amat diperlukan dalam kehidupan, pantas saja digerakkan kaki yang terasa malas dan berat, melangkah ke tempat kerja. Mulut pula mula mengomel, "kalau tak kerja, macam mana la nak hidup..".  Inikah makna sebenar kerja pada kita?

Sejak dari kecil lagi, kita diajar membina impian kerjaya oleh ibu dan ayah. Malah, di sekolah juga para guru selalu meniupkan semangat kepada kita agar menjadi seorang yang mempunyai cita-cita. Pertanyaan yang wajib kita dengar saat semakin membesar, "dah besar nanti anak mama nak jadi apa?". Lalu, dari situ kita mula mencipta imaginasi tentang hebatnya untuk menjadi seperti apa apabila dewasa nanti.

Tanpa diketahui maksud sebenarnya, lantang saja kita menjawab, "nak jadi cikgu!". Kini, tak disangka-sangka cita-cita itu tidak kesampaian walau kita telah melepasi puncak menara gading. Apakan daya, ini rezeki yang Allah tentukan.

Niat Pemangkin Semangat
Tidak berjaya menjadi seperti apa yang kita impikan sememangnya amat mengecewakan. Namun, mestilah diingat bahawa di mana jua kita diletakkan, di situlah rezeki kita dan tempat kita berusaha. Justeru, walau pekerjaan itu bukanlah bertepatan dengan minat kita sendiri, kita seharusnya mempunyai azam untuk bekerja dengan ikhlas, jujur dan memegang amanah tersebut dengan niat kerana Allah. Bukan sekadar bekerja kerana gaji atau lebih tepat lagi seperti yang selalu disebut, "nak hidup punya pasal..".

Setiap apa yang kita lakukan semuanya bermula dengan niat. Niat itulah yang menjadi titik mula bagaimana kita akan memikul tugas yang digalas. Niat bekerja kerana Allah akan memandu setiap perbuatan kita dalam menghasilkan mutu kerja yang cemerlang dan berkualiti. Seperti mana kita menyebut berulang kali Surah al-An'am ayat 162 di dalam solat,
"Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku untuk Allah, Tuhan sekalian Alam".
Kalimah yang kita ucapkan pada Allah dengan bersungguh-sungguh itu perlulah kita ingati ketika menjalankan pekerjaan duniawi.

Kerja harus dianggap sebagai ibadah yang dimulakan dengan niat yang baik berserta istiqamah. Sabda Rasul SAW, "Bahawa Allah mencintai seseorang yang apabila ia mengerjakan sesuatu kerja, ia laksanakan dengan cemerlang." (Hadis riwayat Abu Ya'la)

Dari kita merungut kemalasan dan mengenang nasib di pagi hari saat bangun tidur, adalah lebih baik jika kita berniat untuk bangun bekerja kerana Allah. Sudah pasti badan terasa lebih kuat, minda terasa lapang dan hati terisi dengan semangat yang positif. Simptom seperti makan 'gaji buta' dan 'curi tulang' pasti dapat dielakkan. Ada yang berkata, masalah di tempat kerja yang membuatkan semangat untuk menjalankan tugas terasa lemah dan minat yang sememangnya ada seakan hilang.

Jujur dan Istiqamah
Kadang-kala timbul masalah tidak 'sekepala' dengan rakan-rakan sekerja. Majikan pula selalu merungut ada saja perkara yang tidak kena. Inilah ujian dan dugaan di alam pekerjaan. Tidak mungkin kita boleh 'ngam' dengan semua orang disekeliling kita.

Apa yang membuatkan kita mampu bertahan dan terus bekerja dengan gembira adalah dengan menjadi seorang yang bijak mengawal keadaan. Berfikiran positif dan selalu memperbaiki diri adalah faktor utama menangani situasi ini. Jangan dek sedikit saja onak duri yang mendatang, mulalah merangka surat perletakkan jawatan!

Perkara yang paling menguji diri kita sebagai seorang pekerja juga adalah elemen kejujuran. Sukar untuk menjadi jujur walau tidak 'mengulat' selama satu minit sahaja.

Menyalahgunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh syarikat untuk kepentingan sendiri. Kita anggapkan tiada siapa yang tahu dan melihat, jadi tidak apalah.

Kebetulan pula bos tidak datang, kita pun bersuka-suka dan tidak serius dalam bekerja. Ada juga yang buat kerja alai-balai kerana tidak suka pada majikan. Jadikanlah Allah sebagai 'majikan' tertinggi, maka kita akan jujur dalam menjalankan tugas.

Apabila niat bekerja kerana Allah, disulami dengan keikhlasan, kesungguhan dan istiqamah, mudah-mudahan setiap pergerakan kita bermula dari kita keluar rumah, semasa di tempat kerja sehinggalah perjalanan pulang ke rumah dikira sebagai ibadah di sisi Allah.

Ganjaran di dunia dan kemuliaan di akhirat itulah yang harus kita genggam sebagai matlamat dalam kerjaya. Firman Allah SWT,
"Maka apabila telah ditunaikan solat, bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia (rezeki) Allah dan ingatlah akan Allah sebanyak-banyaknya, mudah-mudahan kamu berjaya." (al-Jumu'ah: 10)

Apabila niat bekerja kerana Allah, disulami dengan keikhlasan, kesungguhan dan istiqamah, mudah-mudahan setiap pergerakan kita bermula dari kita keluar rumah, semasa di tempat kerja sehinggalah perjalanan pulang ke rumah dikira sebagai ibadah di sisi Allah.

Rencana ini dimuatkan dalam tabloid iLuvislam edisi ke-46.

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | coupon codes