24 June 2012

Sambutan Israk dan Mikraj 1433H

SHAH ALAM, 22 Jun 2012 / 2 Syaaban 2012 - Satu ceramah bersempena dengan Sambutan Peringatan Peristiwa Israk Mikraj telah diadakan di Dewan Sri Mawar, IPD Shah Alam. Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Fauzan Bin Mazlan, Personaliti TV Al-Hijrah.

       Ceramah yang dihadiri oleh kira-kira 65 orang di kalangan warga IPD Shah Alam. Turut hadir ialah YDH Ketua Polis Daerah Shah Alam dan Timbalanya, sebahagian Ketua-ketua Bahagian, Pegawai Kanan, Anggota dan Kakitangan Awam.

Ceramah ini bermula pada jam 10.30 pagi dan tamat pada jam 12.00 tengah hari. Majlis berakhir dengan jamuan tengahari.

      Semoga segala ilmu dan pesanan yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Fauzan Mazlan dalam ceramah beliau akan diingati dan diambil iktibar oleh semua yang terlibat. Di akhir ceramah, beliau sempat berpesan sempena menyambut kedatangan Ramadhan agar memperhebatkan 3 amalan iaitu menjaga solat, membaca Al-Quran dengan ilmu dan mendalami Feqah Ramadhan.




Ustaz Mohd Fauzan Mazlan

Turut menceritakan pengalaman beliau semasa belajar di Mesir.

Ustaz Fauzan memperkatakan sesuatu kepada Tuan Zahedi, KPD Shah Alam.

Timbalan Pengerusi PERKEP Shah Alam (dua daripada kanan) turut hadir.

Komen Di Bawah

18 June 2012

Catat Sejarah bergelar Tok Kadi Pertama PDRM


Kadi pertama... Ghazali Daud (gambar kanan) bersama rakan setugas pada majlis agama anjuran Polis DiRaja Malaysia

Apabila menyebut perkataan Tok Kadi, pasti kita tergambar watak seseorang yang mempunyai perwatakan alim, warak dan bersopan santun.

Namun begitu, bagaimana pula apabila seorang anggota polis yang sentiasa berperwatakan tegas dan serius memegang jawatan kadi?

Bagi Asisten Supritendan (ASP) Ghazali Daud dari Unit Udara, menyandang jawatan sebagai kadi dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sememangnya memerlukan beliau bersikap lebih tenang dan sabar dalam segala urusan.

Orang sering beranggapan kadi perlu tampil lebih sempurna sama ada dari segi perwatakan atau ilmu agama.

Namun begitu ia bukanlah masalah besar bagi saya kerana saya sememangnya berminat dengan ilmu agama dan sentiasa berusaha mendalaminya, katanya.

Semangat yang ada pada Ghazali bersesuaian dengan prinsip hidupnya iaitu segala-galanya bukanlah mustahil asalkan ikhlas untuk berbakti kepada agama dan bangsa.

Itulah pegangan hidup Ghazali yang kini menjadi perintis jawatan kadi dalam PDRM.

Walaupun terkejut ketika dipilih sebagai kadi tetapi tanggungjawab itu tetap diterimanya dengan hati terbuka.

Tugas itu merupakan satu tanggungjawab yang besar untuk dilaksanakan memandangkan ia diwujudkan sempena 200 tahun usia penubuhan PDRM.

Bagaimanapun saya berbangga kerana terpilih menjadi pegawai polis pertama memegang jawatan ini, ujarnya.

Ghazali berkata, jawatan kadi seharusnya sudah lama diwujudkan dalam PDRM kerana ia akan memudahkan anggota sepasukan apabila hendak berkahwin kelak.

Buat permulaan saya akan bertugas di Masjid Bukit Aman sebagai qariah sebelum menjalankan tugas-tugas berkaitan pernikahan.

Selain itu, saya juga akan menyandang tugas sebagai imam dan amil di masjid yang sama, katanya.

Menurutnya, jika jawatan kadi PDRM ini membawa kebaikan kepada semua, maka tugas ini akan diperluaskan ke seluruh kontinjen.

Katanya, walaupun tugas kadi pada pandangan mata orang adalah tugas mudah tetapi bagi beliau ia tidak semudah disangkakan.

Ini kerana menurut penceramah yang mendapat pentauliahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu, selain bertindak sebagai kadi secara tidak langsung akan menjadi tempat rujukan rakan sepasukan yang mempunyai kemusykilan berkaitan soal agama Islam.

Selain itu, saya juga perlu sentiasa menjaga imej dan menampilkan personaliti yang baik agar menjadi contoh kepada orang lain, jelasnya.

Berlatar belakangkan pendidikan agama, bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin ini mengaku pernah bercita-cita menjadi seorang guru agama sebelum menjadi pegawai polis.

Namun, manusia hanya merancang tetapi Tuhan yang menentukan kerana selepas tamat peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), hati beliau tergerak untuk menyertai PDRM.

Katanya, selepas tamat latihan, beliau memulakan khidmat sebagai Inspektor di daerah Shah Alam, Selangor pada Januari 1988 sehinggalah beliau bertukar ke Bukit Aman pada tahun 1999.

Pada 1997, beliau dilantik sebagai Pegawai Latihan Pasukan Gerakan Am di Kubang Badak, Kuala Terengganu.

Selepas mencurahkan khidmat sebagai Pegawai Latihan di sana, beliau diberi tanggungjawab sebagai Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh, Kelantan dari tahun 2001 hingga 2004 sebelum ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Lumrah dalam PDRM, kita perlu bersedia untuk kemana-mana sahaja mengikut arahan. Pada Mei 2005, beliau telah ditukarkan ke Unit Udara Sungai Besi, Kuala Lumpur dan dinaikkan pangkat sebagai ASP.

Semua saya lakukan kerana niat untuk menabur jasa dan bakti kepada bangsa dan negara, ujarnya.

*Kini beliau berpangkat Superintenden, Hj. Ghazali bin Hj Daud, bertugas sebagai Supt. Urus Setia BAKA PDRM Bukit Aman.


17 June 2012

Peristiwa dan Pengajaran Israk dan Mikraj

[17 Jun 2012 / 27 Rejab 1433H]

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap tahun apabila sampai tanggal 27 Rejab umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan peristiwa Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Mekkah ke Madinah.

Apabila berbicara tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah S.A.W bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa.

01.Israk yakni perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.

02.Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.

Perjalanan Rasulullah S.A.W ini telah diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud;
"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah S.A.W hanya berlangsung pada satu malam.

Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi SAW bukannya roh sahaja. Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan "asra bi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad S.A.W yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja. Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi "asra bi rohi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.

Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi samada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.

Setelah baginda S.A.W menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan baginda S.A.W. Fitnah terhadap baginda S.A.W bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan baginda S.A.W maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi S.A.W lalu beliau dengan tegas menyatakan :
"Benar! Aku menyaksikan bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda S.A.W mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya". Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.

Selain itu, pernah juga diriwayatkan Rasulullah S.A.W berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.
Sahabat yang dimuliakan,

Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah S.A.W mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda S.A.W dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.



Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):

Sepanjang perjalanan (Israk) itu Rasulullah S.A.W diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

01.Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah,

02.Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah,

03.Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan),

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.

Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :

01.Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

02.Tempat yang berbau harum.Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

03.Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

04.Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

05.Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.

06.Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.

07.Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

08.Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

09.Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10.Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

11.Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12.Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.

13.Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah S.A.W memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah S.W.T );

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Di Langit Pertama: Rasulullah S.A.W dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

Di Langit Kedua: Nabi S.A.W dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

Di Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

Di Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.

Di Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

Di Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Di Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.

Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".

Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

Di Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

Di Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Di Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah SWT : Ya Muhammad.

Rasulullah : Labbaika.

Allah SWT : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj:

Rasulullah S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa'id)

Sahabat yang dikasihi,

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah S.W.T dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Dengan kita mendengar dan menghayati kisah dan cerita yang berlaku di dalam peristiwa Israk dan Mikraj kita perlu ambil ikhtibar dan yakin bahawa bumi Baitulmaqdis Palestin yang menjadi tempat bermulanya Mikraj Nabi SAW adalah bumi penuh berkah dan terdapat Masjidil Aqsa (kiblat pertama umat Islam)

Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa adalah harta umat Islam yang telah dirampas oleh Zionis Yahudi laknatullah. Umat Islam perlu berusaha, berkorban dan berdoa semoga tempat suci umat Islam ini dapat dipulangkan kembali kepada pangkuan umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj akan lebih bermakna apabila umat Islam seluruhnya dapat membantu saudara-saudara kita di Palestin dan dapat memulihkan dan menguasai Baitulmaqdis dan menghalau Yahudi laknatullah daripada menguasai dan membunuh saudara-saudara kita di Palestin.


Sila Komen Di Bawah

08 March 2012

Seram urus jenazah pertama kali

ARKIB : 13/01/2009

PADA suatu Subuh, laungan azan serta bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Penolong Pegawai Bahagian Logistik Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras, Sarjan Mejar Che Ismail Che Min membuka pintu hati seorang anggota polis bukan Islam untuk mendalami ilmu agama Islam.

CHE ISMAIL Che Min menunjukkan naskah al-Quran bernilai RM33,000, hadiah sebagai johan Tilawah al-Quran tahun 2008.
Rentetan dari peristiwa pagi itu, seorang anggota polis yang berasal dari Sabah yang mendengar bacaan ayat suci tersebut mendapat hidayah Allah untuk menganut Islam.

Kemerduan, kelunakan serta kelancaran bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Che Ismail memang sukar dipertikaikan.

Anak kelahiran Bachok, Kelantan itu mendapat anugerah johan dalam satu pertandingan tilawah al-Quran yang dianjurkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun lalu.

Beliau membawa pulang wang tunai, trofi, sijil dan senaskah al-Quran, keseluruhannya bernilai RM33,000.
Kejayaan tersebut sebenarnya mengulangi kejayaan pada tahun 1993 dan hasilnya, beliau dan isterinya telah mengerjakan umrah yang dibiayai sepenuhnya oleh PDRM.

Che Ismail, 48, telah dilantik menjadi bilal dan imam kedua di Masjid Al-Amin, PGA, Cheras sejak tahun 1997. Katanya, masjid tersebut sebelum itu merupakan surau dan baru siap dinaik taraf sebagai masjid pada tahun 2000 dengan nilai hampir RM2.4 juta.

Sebagai penggerak utama aktiviti masjid itu, beliau sentiasa memastikan program-program keagamaan dan kerohanian sentiasa berjalan lancar.

Antaranya termasuklah mengadakan majlis-majlis ilmu, menguruskan jenazah anggota polis dan orang awam serta mengadakan kelas mengaji al-Quran dan fardu ain.

"Selain penceramah dari dalam PGA, kita turut menjemput penceramah luar seperti Ustaz Hassan Mahmud dan Datuk Hassan Azahari," katanya ketika ditemui di pejabatnya di PGA, Cheras di sini.

Sambil tersenyum, beliau menceritakan pengalaman pertamanya menguruskan jenazah pada 10 tahun lalu.
Katanya, ketika di dalam lif selepas selesai menguruskan jenazah buat kali pertama dalam hidupnya, beliau berasa seram dan sedang diperhatikan.

Bagaimanapun, selepas sedekad dan beratus-ratus jenazah dimandikan, dikapankan dan dikebumikan, perasaan tersebut sudah lupus. Jelasnya, beliau melakukan kesemua tugas tersebut dengan hati yang ikhlas tanpa mengharap ganjaran dan balasan.

Che Ismail memberitahu, beliau tidak pernah meletakkan sebarang harga untuk kerja-kerja menguruskan jenazah kerana tidak mahu menambah beban keluarga mangsa.

"Keluarga mangsa terpaksa membeli kain kapan dan segala kelengkapan menguruskan jenazah, jadi hati saya ikhlas membantu mana yang perlu.

"Bagi saya, janji Allah untuk memberi pahala sebesar Bukit Hud sudah lebih memadai," katanya.

Mengimbas kembali pengalaman menguruskan jenazah, beliau mendakwa pernah menguruskan jenazah rakan setugasnya.

"Arwah meninggal dunia dilanggar sebuah lori. Saya pada mulanya tidak mengenalinya kerana hampir separuh wajah arwah hancur dalam kemalangan tersebut dan selepas diberitahu, saya betul-betul terkejut," katanya.

Jelasnya, melihat beratus-ratus jenazah, terbit keinsafan di hatinya dan sentiasa mengingatkan dirinya bahawa semua yang ada di muka bumi Allah ini pasti kembali kepada-Nya mengikut takdir masing-masing.

Che Ismail mendirikan rumah tangga pada tahun 1983 dan memiliki empat anak lelaki. Beliau menyertai bidang polis pada tahun 1981 dan berpendapat tugas seorang anggota polis sangat murni di dalam agama.

Ini kerana anggota polis bersiap sedia mengorbankan nyawa dan meninggalkan keluarga demi menjaga keselamatan agama, bangsa dan negara.

Sehubungan itu, beliau sentiasa menasihati rakan-rakan seperjuangan untuk tidak meninggalkan sembahyang lima waktu yang menjadi asas dan tiang kehidupan.

Beliau yang telah 28 tahun berkhidmat dalam polis mengingatkan rakan-rakannya supaya yakin bahawa rezeki di tangan Allah dan mencari rezeki yang berkat sangat penting. Beliau kecewa melihat sesetengah orang mengejar pangkat, kuasa dan harta dengan sumber rezeki yang tidak halal.

"Rezeki yang dicari setiap hari akan menjadi darah daging diri dan keluarga, sebaik-baiknya ikut apa yang disuruh dan jauhi apa yang ditegah untuk keselamatan dunia dan akhirat.

"Kadang-kadang kita tidak sedar bagaimana Allah tarik rezeki yang haram itu. Ada rakan saya yang sudah bersara tetapi terpaksa menumpang di rumah saudara mara kerana lupa membeli rumah ketika ada wang," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online

19 February 2012

Majlis Penutupan Kursus TOT Pra AKRAB PDRM

Majlis Penutupan Kursus Training Of Trainers (TOT) Pra AKRAB Jurulatih Utama PDRM
 
Peserta kursus yang terdiri daripada Pegawai Kanan Polis dan pegawai awam.
Dari kiri, depan...Supt Norisah binti Abd Hamid, Superintenden Perhubungan Awam, YBhg Dr. Abd Jalil bin Hassan, Ketua Penolong Pengarah Psikologi BAKA, YDH SAC Dato' Dr. Hashim bin Haron, Timbalan Pengarah Pengurusan Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) Polis Diraja Malaysia, Y.Bhg En. Izuddin bin Maskhor, Pegawai Psikologi Bahagian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam, Y.Bhg Ustaz Che Alias bin Che Ismail, Ketua Penolong Pengarah Agama BAKA.
Bacaan doa oleh Y.Bhg Ustaz Fahrurradzi bin Sahibul Ghani
Ucapan serta penutupan kursus oleh YDH SAC Dato' Dr. Hashim bin Haron, Timbalan Pengarah Pengurusan Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) Polis Diraja Malaysia.
YDH SAC Dato' Dr. Hashim bin Haron, Timbalan Pengarah Pengurusan Bahagian Agama dan Kaunselin g(BAKA) PDRM menyampaikan cenderamata kenangan kepada Y.Bhg En. Izuddin bin Maskhor, Pegawai Psikologi Bahagian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam.
Bukit Aman, 16 Februari 2012 (Khamis) - Seramai 31 orang pegawai kanan polis dan 21 orang pegawai awam menyertai Kursus TOT(Training Of Trainers) Pra AKRAB Jurulatih Utama Polis Diraja Malaysia. Kursus selama 2 hari ini telah diadakan di Dewan Theatrette, Menara 1, Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman, Kuala Lumpur. Kesemua peserta terdiri daripada Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Awam dari Bahagian Agama dan Kaunseling(BAKA) di setiap kontinjen.

Majlis perasmian penutupan kursus pada hari ini telah dirasmikan oleh YDH SAC Dato' Dr. Hashim bin Haron, Timbalan Pengarah Pengurusan Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) Polis Diraja Malaysia. Turut hadir di majlis penutupan ini ialah Y.Bhg Ustaz Che Alias bin Che Ismail, Ketua Penolong Pengarah Agama BAKA, Y.Bhg Dr. Abd Jalil bin Hassan, Ketua Penolong Pengarah Psikologi BAKA, Y.Bhg En. Izuddin bin Maskhor, Pegawai Psikologi Bahagian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam serta peserta-peserta kursus.

Jurufoto & Wartawan   : Konst Raymond
Sumber : http://www.rmp.gov.my/

Sila Komen Di Bawah :

11 February 2012

Inspektor Agama PDRM Telah Ditempatkan


Sejarah baru telah tercipta dalam Bahagian Agama dan Kaunseling PDRM di mana dua (2) jawatan Inspektor Agama telah ditempatkan dan diisi pada awal Januari 2012 di peringkat Bukit Aman sebagai langkah permulaan.

Ini secara tidak langsung akan memperkukuhkan lagi institusi keagamaan PDRM sebagai Badan Penguatkuasaan Beruniform dan meningkat syiar Islam di kalangan warga PDRM.

Buat masa ini, dianggarkan seramai 950 orang yang mengisi jawatan dalam Cawangan Agama PDRM di seluruh negara adalah daripada Kader JAKIM dalam pelbagai gred jawatan dengan gred S48 adalah yang paling tinggi iaitu mengetuai Cawangan Agama di Bukit Aman dengan nama jawatan Ketua Penolong Pengarah (Agama) PDRM.

Inspektor Muhammad Ridhuwan bin Zaini Al-Hafiz, Inspektor Agama (Operasi) BAKA PDRM. Beliau berkelulusan Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Darul Quran (JAKIM) & Ijazah Al-Quran Wal Qiraat, Universiti Al-Azhar Mesir.
Inspektor Muaz bin Abdullah Habib, Inspektor Agama (Operasi) BAKA PDRM. Beliau berkelulusan Ijazah Sunnah dan Pengurusan maklumat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).


Akaun FB : Komen Di Sini

10 February 2012

Kisah Ketua BAKA PGA Briged Tengah



Pengalaman berharga pandu kereta perisai

Personaliti kali ini sudah melalui pengalaman perit memasuki Polis Diraja Malaysia (PDRM) seawal semasa latihan lagi apabila sudah dikerahkan menjaga keamanan dan keselamatan di Kelantan, kira-kira dua minggu lagi sebelum tamat latihan.

Ketika itulah pada 1977, semasa era Majlis Keselamatan Negara (Mageran), Mohammad Kamal Ahmad, seorang Konstabel, telah merasai pengalaman sebenar menjadi seorang anggota polis.

“Bayangkan, belum lagi tamat latihan, saya sudah menempuh pengalaman perit, itu belum lagi apabila menjadi polis nanti,” kata Asisten Supritendan Mohammad, 50, mula berbicara tentang pengalamannya dalam PDRM ketika ditemui baru-baru ini.

Pada masa itu, beliau bersama 370 lagi rakannya yang hampir tamat latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur, dikejutkan dengan arahan agar segera ke Kelantan untuk mengawal keselamatan yang ketika tersebut agak tegang.

MOHAMMAD Kamal Ahmad sebagai Ketua Trup iaitu pada tahun 1996.
“Memang terkejut, kami lantas bersiap-siap dan menaiki kereta api ke Pasir Puteh, Kelantan. Apabila sampai kami terus diminta menjalankan tugas seperti berkawal dan sekatan jalan raya,” katanya walaupun seharian mereka masih belum makan pada masa itu.

Beliau menambah: “Kalaulah ketika itu ada pegawai yang bertanya, jika ada sesiapa ingin meletakkan jawatan sebagai polis secara sukarela, saya rasa mungkin ramai rakan termasuklah saya akan berbuat demikian,”.

Selain daripada peristiwa yang sukar dilupakan itu, Kamal juga terlibat dengan banyak operasi membanteras komunis semasa menyertai Skuadron Lima (Kereta Perisai) Pasukan Gerakan Am (PGA) seperti Ops Bamboo, Ops Pagar, Ops Aturan 10, Ops Hentam Galas dan Ops Cermin.

Ini kerana pada masa tersebut iaitu sekitar awal tahun 80-an, komunis masih menjadi masalah negara dan memerlukan disebabkan itulah operasi diperlukan bagi menghapuskan anasir berkenaan yang boleh mengugat keselamatan negara.

Satu pengalaman tidak dapat dilupakan ialah pada 1980 ketika kereta perisai yang dinaikinya bersama tiga orang terlibat dalam kemalangan dan tergelincir dari sebuah bukit semasa melalui cerun-cerun curam dan berhutan tebal di Bukit Fraser.

Apa yang menakutkan dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, beliau bersama enam rakannya yang menaiki sebuah lagi kereta perisai lain terpaksa menunggu selama 12 jam sehingga bantuan tiba untuk menarik keluar kenderaan terbabit.

“Bukan sahaja gelap dan berhutan tebal tetapi ia amat menakutkan kerana kawasan tersebut terkenal dengan laluan komunis dan dianggap lokasi hitam,” katanya serius dan memberitahu terpaksa meminum air pada kesan tapak babi ketika itu.

Meskipun banyak kali terlibat dengan operasi membanteras komunis ketika di Skuadron Lima dan Tujuh kereta perisai, namun Kamal dan rakan-rakannya bersyukur kerana tidak pernah berhadapan secara langsung atau bertempur dengan pengganas tersebut.

Amalan doa agar dirinya sentiasa dijauhi daripada sebarang bentuk malapetaka sebelum dan semasa menyertai operasi mungkin antara penyebab beliau tidak pernah berjumpa dengan komunis.

Sementara itu, Kamal menyifatkan pengalaman dirinya membawa kereta perisai adalah sesuatu yang paling berharga kerana tidak semua orang berpeluang untuk membawa kenderaan berat tersebut.

Beliau yang memiliki lesen E penuh memberitahu untuk membawa kereta perisai seseorang itu perlu mempunyai kemahiran dalam tiga elemen iaitu komunikasi, persenjataan dan pemanduan.

Antara kereta perisai yang beliau berpengalaman membawanya ialah daripada jenis Komando V100, Komando V150 dan Sankey At105 dan turut dilengkapi dengan senjata seperti meriam dan GPMG.
“Pengalaman ini pada saya adalah sesuatu yang paling dibanggakan kerana tidak ramai boleh membawa kereta perisai walaupun memiliki kenderaan mewah sekalipun,” katanya tergelak.

Pun begitu, semasa di dalam skuadron kereta perisai inilah seorang daripada rakan baiknya terkorban akibat terlibat dalam satu kemalangan semasa mengelak seorang awam di Jalan Tun Razak pada tahun 1984.

“Kejadian itu benar-benar meninggalkan kesan kepada saya kerana kami amat rapat. Malah kenderaan perisai tersebut telah diletakkan di hadapan PGA Cheras kerana tidak lagi boleh dibaiki,” katanya.

Menyentuh mengenai tugas barunya iaitu sebagai Ketua Bahagian Agama dan Kaunseling (Baka) di PGA, Briged Tengah, beliau memberitahu, ia banyak berkaitan dengan pembentukan sahsiah dan jati diri anggota dan pegawai PDRM.

Perkara yang amat dititik beratkan oleh pucuk pimpinan itu memberi fokus kepada pembentukan institusi kekeluargaan, nilai murni dan positif berteraskan agama yang menjadi tunjang utama kepada pasukan itu.
“Begitulah daripada menjaga dan membaiki kereta perisai, saya kini ‘membaiki orang’ pula,” katanya sambil tersenyum bangga dengan pengalamannya itu.

Anak kelahiran Yan, Kedah ini berkahwin dengan seorang anggota polis berpangkat Sarjan Mejar, Sarah Awang dan kini dikurniakan dua anak iaitu Marlisa yang sedang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Fitri Hakim (pelajar tingkatan empat).

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Polis_%26_Tentera&pg=te_03.htm

04 January 2012

Elak Perangkap Riya' Dalam Ibadat


RIYA' (riyak) iaitu perkataan Arab yang terbit dari kata kerja ra'a, yura'i, yang turut dituturkan dalam masyarakat Melayu, merujuk kepada suatu perlakuan, sifat dan sikap yang buruk.

Ia boleh diertikan sebagai memperlihatkan, menunjuk-nunjuk, menonjolkan atau mempamerkan amalan dilakukan kepada yang lain dengan tujuan mendapat tempat di hati mereka.

Berdasarkan al-Quran dan hadis, ulama sepakat riya' hukumnya haram termasuk dalam kesalahan dosa besar yang merosakkan nilai ibadat.

Antaranya, nas yang bermaksud: "Sesiapa yang menghendaki kehidupan dunia (semata-mata) dan perhiasannya, Kami (Allah) tunaikan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka di dunia (ini sahaja) dan mereka tidak dirugikan.

"Itulah orang yang tidak memperoleh di akhirat kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan (di dunia) dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan." (Al-Quran, Hud:15)

Beberapa perkara penting dijelaskan dalam ayat terbabit, antaranya perbuatan syirik dan tujuan keduniaan, malah perhiasannya yang merosakkan nilai amalan soleh dan ibadat.

Nabi s.a.w melalui hadisnya ada memberikan penjelasan susulan, seperti hadis dari Abu Hurairah r.a, maksudnya: "Aku (Allah) adalah Yang Terkaya (secara mutlak) dari disekutui (dikongsi). Maka sesiapa yang beramal dengan suatu amalan yang disekutukan bersama-Ku dalam amalan terbabit dengan yang selain dari-Ku, Aku tinggalkan bersama sekutunya."

Memang Allah Terkaya, manakala yang lain adalah fakir serta bersifat serba kekurangan dan lemah, sentiasa memerlukan kepada-Nya.

Dengan sifat yang melebihi segalanya pada Allah, tidaklah layak sama sekali untuk-Nya menerima suatu amalan yang disekutukan dengan selain-Nya.

Justeru, kesempurnaan dan kekayaan-Nya yang mutlak itu memastikan segala amalan dihadapkan niat dan tujuan kepada-Nya sahaja.

Menurut ulama, setiap amalan yang dilakukan dengan tujuan riya' adalah rosak dan terhapus nilai pahalanya, bahkan boleh menyebabkan dosa.

Tetapi nilai dosa dari perbuatan riya' berbeza mengikut perbezaan peringkat ibadat yang menjadi bahan dalam riya' dan berbeza mengikut kelainan tujuan perbuatan terbabit.

Ulama memperincikan riya' kepada beberapa peringkat:

1. Riya' yang jelas iaitu yang menjadi pendorong kuat kepada amalan dan ibadat seseorang. Jika tidak kerana adanya riya', seseorang itu tentu tidak melakukan amal ibadat terbabit.

2. Riya' yang tidak jelas dan tersembunyi. Jika kerana riya' saja dia tidak melakukan ibadat, misalnya seorang yang biasa bersolat tahajud, kadangkala diselubungi kemalasan, tetapi apabila ada teman atau tamu bangun beribadat malam dia menjadi rajin pula.

Ibadatnya itu didorong sedikit oleh riya' yang tidak jelas dari dalam dirinya. Riya' yang tidak jelas ini menurut ulama, tidak membatalkan pahala asal, tetapi menjejaskan nilai pahalanya mengikut kadar riya' terbabit.

3. Riya' yang lebih tersembunyi dan terlalu samar. Riya' ini bukan yang mendorong amal ibadat atau berasa ringan untuk beribadat, namun sifat itu terpendam di dalam diri.

Jenis ini hanya boleh diketahui dan dikenali melalui tandanya seperti berasa bangga dengan pujian.

Misalnya, seseorang itu melakukan ibadat secara ikhlas, tanpa ada dorongan riya', malah benci kepada sifat terbabit, tetapi apabila amalannya itu diketahui orang, dia berasa gembira.

Jika gembiranya semata-mata sebagai tabiat fitrah manusiawi dan tidak mengharapkan amalannya itu diketahui orang, riya' seperti ini tidaklah merosakkan pahala amalan terbabit.

Ada yang lebih tersembunyi dari itu, hanya dapat disedari mereka yang mempunyai hati bersih lagi halus sebagaimana diterangkan Rasulullah s.a.w bahawa riya' lebih tersembunyi daripada rayapan kaki semut hitam di waktu malam.

Semua ini untuk menjelaskan betapa perlunya kita sentiasa berwaspada daripada terperangkap dengan riya'.

Jika mengatasi riya' yang jelas, belum tentu terselamat dari riya' yang kurang jelas, malah jika di peringkat terbabit janganlah pula berasa diri terselamat dari segala bentuk riya'. 

Sumber : Harian Metro - Oktober 2009

Komen di bawah :



 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | coupon codes