Kelahiran
Rasulullah SAW adalah rahmat yang sangat besar kepada umatnya. Baginda diutus
menjadi Rasul empat puluh tahun setelah kelahiran dengan menghidupkan wahyu-wahyu
Allah begitu sempurna melalui perbuatan, perkataan dan pengakuannya atau apa
yang dinamakan sebagai sunnah nabawiyah, Baginda dipuji
oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang menjelaskan sifat sebenar sebagai seorang
Rasul yang terakhir.
Firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat 128:
Maksudnya: “Sesungguhnya
telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri, yang menjadi
sangat berat kepadanya sebarang kesusahanmu, yang sangat inginkan kebaikan
bagimu, (dan) amat belas lagi penyayang kepada orang yang beriman.”
Dalam menjelaskan ayat ini, Sayyid Qutb dalam Tafsir Fi Zhilalil Qur'an mengatakan bahawa, Allah SWT mengungkapkan 'dari
kaummu sendiri'. yang menunjukan bahawa lebih akrab dalam hubungannya dan lebih
menunjukkan ikatan yang mengaitkan mereka. Begitu juga pandangan Ibnu Katsir dalam Tafsir Qur'anil Adzim berkata, “Allah
SWT menyebutkan limpahan nikmat yang telah diberikan-Nya kepada orang-orang
mukmin melalui seorang rasul yang diutus oleh-Nya dari kalangan mereka sendiri, yakni
dari bangsa mereka dan sebahasa dengan mereka.”
Rasulullah SAW juga sangat menginginkan umatnya memperoleh hidayah serta
kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Maka segala hal yang diperintahkan
Allah SWT untuk disampaikan kepada umatnya telah beliau sampaikan. Segala
perkara yang mendekatkan umatnya ke syurga dan menjauhkan dari neraka telah sampaikan.
Bahkan Rasulullah SAW mendoakan umatnya yang terbaik di hari perhintungan kelak
agar umatnya beroleh syafaat. Inilah antara bentuk-bentuk kasih sayang
Rasulullah kepada umatnya. Wahai jemaah dan umat Islam sekalian, inilah manusia
teragung yang mesti dicontohi! Marilah kita berfikir sejenak, bagaimanakah
sikap, pertuturan dan perbuatan kita selama ini? Adakah telah kita contohi Rasulullah SAW ataupun sebaliknya? Cerminlah diri
kita, adakah akhlak Rasulullah SAW telah kita jadikan sebagai amalan dan
pakaian kita selama ini?
Ingatlah akan kita sekalian bahawa rahmat dari kelahiran Rasulullah
SAW merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia. Ia meliputi soal akidah,
syariah dan akhlak. Dalam soal membersihkan akidah, Baginda membimbing umat
mentauhidkan Allah, iaitu Tuhan yang layak disembah. Kemudian, dalam soal
syariat atau hukum-hakam agama, ia diajar dan diperlihatkan oleh Baginda samada
melalui teori dan amali. Yakin dan percayalah bahawa segala usaha
ini telah meletakkan agama Islam sebagai agama yang yang diiktiraf
di sisi Allah SWT dan menjamin umatnya kepada kebahagiaan di dunia dan di
akhirat. Inilah kemuliaan Rasulullah SAW, segala tindakan dan perbuatan Baginda
hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah dan berpaksikan agama Islam dan jauh
sekali untuk mendapatkan kepentingan peribadi.
Firman Allah SWT dalam surah
Ali- Imran ayat 19:
Bermaksud:
“Sesungguhnya agama
(yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang (Yahudi dan
Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih kecuali setelah sampai
kepada mereka pengetahuan kerana hasad dengki di kalangan mereka. Dan
(ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya
Allah amat segera hitungan hisab-Nya. ”
Hari ini
persoalan akidah dalam masyarakat Islam di negara kita menimbulkan pelbagai
tafsiran dan pertikaian sehinggakan segelintir umat Islam menjadi keliru.
Berdasarkan kepada pemerhatian, kesan daripada krisis ini ada sesetengah pihak
cuba menentukan kedudukan akidah seseorang samada ianya seorang yang beriman,
fasik, murtad dan yang paling malang lagi menjadi kufur. Persoalan besar timbul
di sini kenapakah isu ini ditimbulkan sedangkan umat Islam pada hakikatnya
bertauhidkan kepada akidah yang sama, beriman kepada tuhan yang esa dan
berkiblat ke arah yang sama?. Dinyatakan antaranya disebabkan pemahaman sesuatu
ideologi, terpengaruh dengan gerakan dakwah semasa yang disalah tafsir,
penyalahan tafsir ayat-ayat al-Quran, taasub kepada fahaman tertentu dan
sebagainya.
Mereka tidak lagi menghormati persaudaraan sesama Islam,
batas-batas iman dan kufur yang mengelirukan diri mereka. Cuba kita bayangkan, mereka
ini sanggup memulaukan sesama umat Islam sehingga berlaku perpecahan di dalam
masyarakat dan yang paling malang ada yang sanggup mengkufurkan sesama sendiri.
Mereka berpegang dengan pandangan yang mengatakan bahawa orang Islam yang tidak
beramal dengan syariat Allah yang terkandung di dalam syahadah di hukum kufur
sekalipun melakukan ibadah yang lain. Ingatlah, inilah bahaya dan ancaman besar
yang sedang mendatangi umat Islam.
Dinyatakan bahawa
persoalan sama ada amal sebagai penyempurna atau sebagai syarat sah iman, hanya
berbeza apabila dirujuk kepada ilmu Allah SWT. Menurut pandangan Ibn Hajar di
dalam kitabnya Fath al-Bari menyatakan bahawa: Ada pun pada pengetahuan manusia, iman hanya ikrar
(pengakuan) sahaja; sesiapa yang mengaku muslim dan mengucap dua kalimah
syahadah, maka ia diakui sebagai muslim dan hendaklah dilakukan ke atasnya
hukum-hukum sebagai mana yang sepatutnya dilakukan terhadap orang Muslim, ia
tidak lagi dihukum kafir, kecuali setelah ternyata padanya amalan-amalan yang
menunjukkan sebaliknya, seperti menyembah berhala dan sebagainya.
Dalam
Islam pengucapan dua kalimah syahadah merupakan pintu masuk agama
Islam. Mereka yang mengucap dua kalimah syahadah ini diiktiraf sebagai
seorang Islam dan melayakkan mereka melakukan amalan-amalan dalam Islam serta
juga dilindungi darah dan harta benda mereka dari sebarang pencerobohan.
Sabda
Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Aku di perintah untuk memerangi manusia sehingga mereka mengatakan
kalimah la ila ha il Allah dan Muhamad itu Rasulullah, maka jika mereka telah
mengucapkannya maka terlindunglah darah mereka dan harta mereka kecuali dengan
hak Islam dan kedudukan mereka itu terserah kepada Allah SWT.”(Riwayat
Bukhari dan Muslim)
Dan
Sabda Rasulullah SAW lagi
Maksudnya: “Sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan mengetahui bahawa tiada
tuhan melainkan Allah, dia akan masuk syurga.”(Riwayat Muslim)
Ramai yang menyedari
bahawa persoalan akidah sekiranya tidak ditangani dengan sebaik mungkin, ianya
akan membawa kepada malapetaka yang boleh memecah-belahkan ummah dan dikhuatiri
dapat melemahkan perpaduan dan akidah umat Islam. Ingatlah segala bentuk
perpecahan yang berlaku dikalangan umat Islam merupakan satu petanda buruk yang
pasti membawa kehancuran kepada umat Islam sendiri. Adakah kita telah buat yang terbaik
untuk mempertahankan negara umat Islam yang sedang kita diami hari ini? Atau, mungkinkah
ada dikalangan kita yang telah terpedaya dan diperalatkan oleh pihak musuh untuk
menghancurkan kesucian agama dan tanah air kita sendiri? Fikir dan renungkanlah.
Marilah sama-sama kita berpegang teguh dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT agar
kita tidak tersesat dari jalan yang diredai-Nya.
Sabda Rasulullah SAW:
Mafhumnya: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu
tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu Kitab Allah
(al-Qur’an) dan Sunnah Rasul-Nya.”(Riwayat al-Malik)
Bersempena dengan Maulidul Rasul yang baru sahaja disambut pada 14
Januari 2014, marilah sama sama kita menjana
peningkatan dalam penghayatan dan ketaatan dalam melaksanakan ajaran yang dibawa
oleh Rasulullah SAW. Marilah sama sama kita mempertahankan akidah umat Islam dari
sebarang penghinaan, perpecahan, kekeliruan dan kesesatan.
Terbitan : Unit Penerbitan, Bahagian Agama dan Kaunseling, IPK Selangor (28.01.2014)