Sejarah

Hasrat untuk menubuhkan Unit Agama dan Kaunseling dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah wujud sejak tahun 1980an lagi, bila mana para pegawai PDRM pertama kali dihantar untuk mengikuti pengajian dalam bidang kaunseling di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Kepentingan ilmu agama dan kaunseling telah lama disedari oleh pucuk pimpinan PDRM.

Justeru itu, ianya telah dimasukkan ke dalam Silibus Kursus Latihan Asas Kepolisan PDRM dan seterusnya ditubuhkan Unit Agama pada skala yang kecil. Pada 16 Ogos 1996, Unit Kaunseling telah ditubuhkan di Bahagian Tatatertib Bukit Aman.

Pada tahun 2002 unit ini telah distrukturkan semula menjadi Cawangan Psikologi dan Kaunseling PDRM. Ianya diletakkan di bawah kawalan Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) direalisasikan hasil daripada Laporan Suruhanjaya Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM pada 13 Mei 2005 yang mencadangkan agar Unit Agama ditubuhkan untuk pembangunan kerohanian dan moral anggota polis. Oleh yang demikian, BAKA diwujudkan dalam skala yang besar di semua peringkat termasuklah:

* Bukit Aman
* Kontinjen
* Daerah
* Bridged PGA
* Institusi Latihan Polis
* Pasukan Polis Marin
* Pasukan Simpanan Persekutuan
* Pasukan Unit Udara

BAKA telah diluluskan mengikut Waran Perjawatan K41 tahun 2007 bertarikh 3 April 2007dengan perjawatan yang diluluskan sebanyak 1,571 di mana 20% diisi oleh pegawai polis dan selebihnya pegawai awam iaitu dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan kaunselor dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). BAKA diletakkan di bawah Jabatan Pengurusan. Ianya dibahagikan kepada tiga cawangan iaitu:

* Cawangan Agama
* Cawangan Kaunseling
* Cawangan Pentadbiran

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | coupon codes