08 March 2012

Seram urus jenazah pertama kali

ARKIB : 13/01/2009

PADA suatu Subuh, laungan azan serta bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Penolong Pegawai Bahagian Logistik Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras, Sarjan Mejar Che Ismail Che Min membuka pintu hati seorang anggota polis bukan Islam untuk mendalami ilmu agama Islam.

CHE ISMAIL Che Min menunjukkan naskah al-Quran bernilai RM33,000, hadiah sebagai johan Tilawah al-Quran tahun 2008.
Rentetan dari peristiwa pagi itu, seorang anggota polis yang berasal dari Sabah yang mendengar bacaan ayat suci tersebut mendapat hidayah Allah untuk menganut Islam.

Kemerduan, kelunakan serta kelancaran bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Che Ismail memang sukar dipertikaikan.

Anak kelahiran Bachok, Kelantan itu mendapat anugerah johan dalam satu pertandingan tilawah al-Quran yang dianjurkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun lalu.

Beliau membawa pulang wang tunai, trofi, sijil dan senaskah al-Quran, keseluruhannya bernilai RM33,000.
Kejayaan tersebut sebenarnya mengulangi kejayaan pada tahun 1993 dan hasilnya, beliau dan isterinya telah mengerjakan umrah yang dibiayai sepenuhnya oleh PDRM.

Che Ismail, 48, telah dilantik menjadi bilal dan imam kedua di Masjid Al-Amin, PGA, Cheras sejak tahun 1997. Katanya, masjid tersebut sebelum itu merupakan surau dan baru siap dinaik taraf sebagai masjid pada tahun 2000 dengan nilai hampir RM2.4 juta.

Sebagai penggerak utama aktiviti masjid itu, beliau sentiasa memastikan program-program keagamaan dan kerohanian sentiasa berjalan lancar.

Antaranya termasuklah mengadakan majlis-majlis ilmu, menguruskan jenazah anggota polis dan orang awam serta mengadakan kelas mengaji al-Quran dan fardu ain.

"Selain penceramah dari dalam PGA, kita turut menjemput penceramah luar seperti Ustaz Hassan Mahmud dan Datuk Hassan Azahari," katanya ketika ditemui di pejabatnya di PGA, Cheras di sini.

Sambil tersenyum, beliau menceritakan pengalaman pertamanya menguruskan jenazah pada 10 tahun lalu.
Katanya, ketika di dalam lif selepas selesai menguruskan jenazah buat kali pertama dalam hidupnya, beliau berasa seram dan sedang diperhatikan.

Bagaimanapun, selepas sedekad dan beratus-ratus jenazah dimandikan, dikapankan dan dikebumikan, perasaan tersebut sudah lupus. Jelasnya, beliau melakukan kesemua tugas tersebut dengan hati yang ikhlas tanpa mengharap ganjaran dan balasan.

Che Ismail memberitahu, beliau tidak pernah meletakkan sebarang harga untuk kerja-kerja menguruskan jenazah kerana tidak mahu menambah beban keluarga mangsa.

"Keluarga mangsa terpaksa membeli kain kapan dan segala kelengkapan menguruskan jenazah, jadi hati saya ikhlas membantu mana yang perlu.

"Bagi saya, janji Allah untuk memberi pahala sebesar Bukit Hud sudah lebih memadai," katanya.

Mengimbas kembali pengalaman menguruskan jenazah, beliau mendakwa pernah menguruskan jenazah rakan setugasnya.

"Arwah meninggal dunia dilanggar sebuah lori. Saya pada mulanya tidak mengenalinya kerana hampir separuh wajah arwah hancur dalam kemalangan tersebut dan selepas diberitahu, saya betul-betul terkejut," katanya.

Jelasnya, melihat beratus-ratus jenazah, terbit keinsafan di hatinya dan sentiasa mengingatkan dirinya bahawa semua yang ada di muka bumi Allah ini pasti kembali kepada-Nya mengikut takdir masing-masing.

Che Ismail mendirikan rumah tangga pada tahun 1983 dan memiliki empat anak lelaki. Beliau menyertai bidang polis pada tahun 1981 dan berpendapat tugas seorang anggota polis sangat murni di dalam agama.

Ini kerana anggota polis bersiap sedia mengorbankan nyawa dan meninggalkan keluarga demi menjaga keselamatan agama, bangsa dan negara.

Sehubungan itu, beliau sentiasa menasihati rakan-rakan seperjuangan untuk tidak meninggalkan sembahyang lima waktu yang menjadi asas dan tiang kehidupan.

Beliau yang telah 28 tahun berkhidmat dalam polis mengingatkan rakan-rakannya supaya yakin bahawa rezeki di tangan Allah dan mencari rezeki yang berkat sangat penting. Beliau kecewa melihat sesetengah orang mengejar pangkat, kuasa dan harta dengan sumber rezeki yang tidak halal.

"Rezeki yang dicari setiap hari akan menjadi darah daging diri dan keluarga, sebaik-baiknya ikut apa yang disuruh dan jauhi apa yang ditegah untuk keselamatan dunia dan akhirat.

"Kadang-kadang kita tidak sedar bagaimana Allah tarik rezeki yang haram itu. Ada rakan saya yang sudah bersara tetapi terpaksa menumpang di rumah saudara mara kerana lupa membeli rumah ketika ada wang," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online

0 komentar:

Post a Comment

Komen Dengan Berhemah

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | coupon codes