18 June 2012

Catat Sejarah bergelar Tok Kadi Pertama PDRM


Kadi pertama... Ghazali Daud (gambar kanan) bersama rakan setugas pada majlis agama anjuran Polis DiRaja Malaysia

Apabila menyebut perkataan Tok Kadi, pasti kita tergambar watak seseorang yang mempunyai perwatakan alim, warak dan bersopan santun.

Namun begitu, bagaimana pula apabila seorang anggota polis yang sentiasa berperwatakan tegas dan serius memegang jawatan kadi?

Bagi Asisten Supritendan (ASP) Ghazali Daud dari Unit Udara, menyandang jawatan sebagai kadi dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sememangnya memerlukan beliau bersikap lebih tenang dan sabar dalam segala urusan.

Orang sering beranggapan kadi perlu tampil lebih sempurna sama ada dari segi perwatakan atau ilmu agama.

Namun begitu ia bukanlah masalah besar bagi saya kerana saya sememangnya berminat dengan ilmu agama dan sentiasa berusaha mendalaminya, katanya.

Semangat yang ada pada Ghazali bersesuaian dengan prinsip hidupnya iaitu segala-galanya bukanlah mustahil asalkan ikhlas untuk berbakti kepada agama dan bangsa.

Itulah pegangan hidup Ghazali yang kini menjadi perintis jawatan kadi dalam PDRM.

Walaupun terkejut ketika dipilih sebagai kadi tetapi tanggungjawab itu tetap diterimanya dengan hati terbuka.

Tugas itu merupakan satu tanggungjawab yang besar untuk dilaksanakan memandangkan ia diwujudkan sempena 200 tahun usia penubuhan PDRM.

Bagaimanapun saya berbangga kerana terpilih menjadi pegawai polis pertama memegang jawatan ini, ujarnya.

Ghazali berkata, jawatan kadi seharusnya sudah lama diwujudkan dalam PDRM kerana ia akan memudahkan anggota sepasukan apabila hendak berkahwin kelak.

Buat permulaan saya akan bertugas di Masjid Bukit Aman sebagai qariah sebelum menjalankan tugas-tugas berkaitan pernikahan.

Selain itu, saya juga akan menyandang tugas sebagai imam dan amil di masjid yang sama, katanya.

Menurutnya, jika jawatan kadi PDRM ini membawa kebaikan kepada semua, maka tugas ini akan diperluaskan ke seluruh kontinjen.

Katanya, walaupun tugas kadi pada pandangan mata orang adalah tugas mudah tetapi bagi beliau ia tidak semudah disangkakan.

Ini kerana menurut penceramah yang mendapat pentauliahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu, selain bertindak sebagai kadi secara tidak langsung akan menjadi tempat rujukan rakan sepasukan yang mempunyai kemusykilan berkaitan soal agama Islam.

Selain itu, saya juga perlu sentiasa menjaga imej dan menampilkan personaliti yang baik agar menjadi contoh kepada orang lain, jelasnya.

Berlatar belakangkan pendidikan agama, bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin ini mengaku pernah bercita-cita menjadi seorang guru agama sebelum menjadi pegawai polis.

Namun, manusia hanya merancang tetapi Tuhan yang menentukan kerana selepas tamat peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), hati beliau tergerak untuk menyertai PDRM.

Katanya, selepas tamat latihan, beliau memulakan khidmat sebagai Inspektor di daerah Shah Alam, Selangor pada Januari 1988 sehinggalah beliau bertukar ke Bukit Aman pada tahun 1999.

Pada 1997, beliau dilantik sebagai Pegawai Latihan Pasukan Gerakan Am di Kubang Badak, Kuala Terengganu.

Selepas mencurahkan khidmat sebagai Pegawai Latihan di sana, beliau diberi tanggungjawab sebagai Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh, Kelantan dari tahun 2001 hingga 2004 sebelum ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Lumrah dalam PDRM, kita perlu bersedia untuk kemana-mana sahaja mengikut arahan. Pada Mei 2005, beliau telah ditukarkan ke Unit Udara Sungai Besi, Kuala Lumpur dan dinaikkan pangkat sebagai ASP.

Semua saya lakukan kerana niat untuk menabur jasa dan bakti kepada bangsa dan negara, ujarnya.

*Kini beliau berpangkat Superintenden, Hj. Ghazali bin Hj Daud, bertugas sebagai Supt. Urus Setia BAKA PDRM Bukit Aman.


0 komentar:

Post a Comment

Komen Dengan Berhemah

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | coupon codes