03 February 2014

Rasulullah S.A.W. Perkasa Akidah



Kelahiran Rasulullah SAW adalah rahmat yang sangat besar kepada umatnya. Baginda diutus menjadi Rasul empat puluh tahun setelah kelahiran dengan menghidupkan wahyu-wahyu Allah begitu sempurna melalui perbuatan, perkataan dan pengakuannya atau apa yang dinamakan sebagai sunnah nabawiyah, Baginda dipuji oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang menjelaskan sifat sebenar sebagai seorang Rasul yang terakhir. 



Firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat 128:
Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahanmu, yang sangat inginkan kebaikan bagimu, (dan) amat belas lagi penyayang kepada orang yang beriman. 

Dalam menjelaskan ayat ini, Sayyid Qutb dalam Tafsir Fi Zhilalil Qur'an mengatakan bahawa, Allah SWT mengungkapkan 'dari kaummu sendiri'. yang menunjukan bahawa lebih akrab dalam hubungannya dan lebih menunjukkan ikatan yang mengaitkan mereka. Begitu juga pandangan Ibnu Katsir dalam Tafsir Qur'anil Adzim berkata, Allah SWT menyebutkan limpahan nikmat yang telah diberikan-Nya kepada orang-orang mukmin melalui seorang rasul yang diutus  oleh-Nya dari kalangan mereka sendiri, yakni dari bangsa mereka dan sebahasa dengan mereka.

Rasulullah SAW juga sangat menginginkan umatnya memperoleh hidayah serta kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Maka segala hal yang diperintahkan Allah SWT untuk disampaikan kepada umatnya telah beliau sampaikan. Segala perkara yang mendekatkan umatnya ke syurga dan menjauhkan dari neraka telah sampaikan. Bahkan Rasulullah SAW mendoakan umatnya yang terbaik di hari perhintungan kelak agar umatnya beroleh syafaat. Inilah antara bentuk-bentuk kasih sayang Rasulullah kepada umatnya. Wahai jemaah dan umat Islam sekalian, inilah manusia teragung yang mesti dicontohi! Marilah kita berfikir sejenak, bagaimanakah sikap, pertuturan dan perbuatan kita selama ini? Adakah telah kita contohi Rasulullah SAW ataupun sebaliknya? Cerminlah diri kita, adakah akhlak Rasulullah SAW telah kita jadikan sebagai amalan dan pakaian kita selama ini?


Ingatlah akan kita sekalian bahawa rahmat dari kelahiran Rasulullah SAW merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia. Ia meliputi soal akidah, syariah dan akhlak. Dalam soal membersihkan akidah, Baginda membimbing umat mentauhidkan Allah, iaitu Tuhan yang layak disembah. Kemudian, dalam soal syariat atau hukum-hakam agama, ia diajar dan diperlihatkan oleh Baginda samada melalui teori dan amali. Yakin dan percayalah bahawa segala usaha ini telah meletakkan agama Islam sebagai agama yang yang diiktiraf di sisi Allah SWT dan menjamin umatnya kepada kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Inilah kemuliaan Rasulullah SAW, segala tindakan dan perbuatan Baginda hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah dan berpaksikan agama Islam dan jauh sekali untuk mendapatkan kepentingan peribadi.

Firman Allah SWT dalam surah Ali- Imran ayat 19:
Bermaksud: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih kecuali setelah sampai kepada mereka pengetahuan kerana hasad dengki di kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya.

Hari ini persoalan akidah dalam masyarakat Islam di negara kita menimbulkan pelbagai tafsiran dan pertikaian sehinggakan segelintir umat Islam menjadi keliru. Berdasarkan kepada pemerhatian, kesan daripada krisis ini ada sesetengah pihak cuba menentukan kedudukan akidah seseorang samada ianya seorang yang beriman, fasik, murtad dan yang paling malang lagi menjadi kufur. Persoalan besar timbul di sini kenapakah isu ini ditimbulkan sedangkan umat Islam pada hakikatnya bertauhidkan kepada akidah yang sama, beriman kepada tuhan yang esa dan berkiblat ke arah yang sama?. Dinyatakan antaranya disebabkan pemahaman sesuatu ideologi, terpengaruh dengan gerakan dakwah semasa yang disalah tafsir, penyalahan tafsir ayat-ayat al-Quran, taasub kepada fahaman tertentu dan sebagainya.

Mereka tidak lagi menghormati persaudaraan sesama Islam, batas-batas iman dan kufur yang mengelirukan diri mereka. Cuba kita bayangkan, mereka ini sanggup memulaukan sesama umat Islam sehingga berlaku perpecahan di dalam masyarakat dan yang paling malang ada yang sanggup mengkufurkan sesama sendiri. Mereka berpegang dengan pandangan yang mengatakan bahawa orang Islam yang tidak beramal dengan syariat Allah yang terkandung di dalam syahadah di hukum kufur sekalipun melakukan ibadah yang lain. Ingatlah, inilah bahaya dan ancaman besar yang sedang mendatangi umat Islam.

Dinyatakan bahawa persoalan sama ada amal sebagai penyempurna atau sebagai syarat sah iman, hanya berbeza apabila dirujuk kepada ilmu Allah SWT. Menurut pandangan Ibn Hajar di dalam kitabnya Fath al-Bari menyatakan bahawa: Ada pun pada pengetahuan manusia, iman hanya ikrar (pengakuan) sahaja; sesiapa yang mengaku muslim dan mengucap dua kalimah syahadah, maka ia diakui sebagai muslim dan hendaklah dilakukan ke atasnya hukum-hukum sebagai mana yang sepatutnya dilakukan terhadap orang Muslim, ia tidak lagi dihukum kafir, kecuali setelah ternyata padanya amalan-amalan yang menunjukkan sebaliknya, seperti menyembah berhala dan sebagainya.
 
Dalam Islam pengucapan dua kalimah syahadah merupakan pintu masuk agama Islam. Mereka yang mengucap dua kalimah syahadah ini diiktiraf sebagai seorang Islam dan melayakkan mereka melakukan amalan-amalan dalam Islam serta juga dilindungi darah dan harta benda mereka dari sebarang pencerobohan.

Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Aku di perintah untuk memerangi manusia sehingga mereka mengatakan kalimah la ila ha il Allah dan Muhamad itu Rasulullah, maka jika mereka telah mengucapkannya maka terlindunglah darah mereka dan harta mereka kecuali dengan hak Islam dan kedudukan mereka itu terserah kepada Allah SWT.”(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dan Sabda Rasulullah SAW lagi
Maksudnya: Sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan mengetahui bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dia akan masuk syurga.”(Riwayat Muslim)

Ramai yang menyedari bahawa persoalan akidah sekiranya tidak ditangani dengan sebaik mungkin, ianya akan membawa kepada malapetaka yang boleh memecah-belahkan ummah dan dikhuatiri dapat melemahkan perpaduan dan akidah umat Islam. Ingatlah segala bentuk perpecahan yang berlaku dikalangan umat Islam merupakan satu petanda buruk yang pasti membawa kehancuran kepada umat Islam sendiri. Adakah kita telah buat yang terbaik untuk mempertahankan negara umat Islam yang sedang kita diami hari ini? Atau, mungkinkah ada dikalangan kita yang telah terpedaya dan diperalatkan oleh pihak musuh untuk menghancurkan kesucian agama dan tanah air kita sendiri? Fikir dan renungkanlah. Marilah sama-sama kita berpegang teguh dengan apa  yang telah ditetapkan oleh Allah SWT agar kita tidak tersesat dari jalan yang diredai-Nya.

Sabda Rasulullah SAW:
Mafhumnya: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu Kitab Allah (al-Qur’an) dan Sunnah Rasul-Nya.”(Riwayat al-Malik)

Bersempena dengan Maulidul Rasul yang baru sahaja disambut pada 14 Januari 2014, marilah sama sama kita menjana peningkatan dalam penghayatan dan ketaatan dalam melaksanakan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Marilah sama sama kita mempertahankan akidah umat Islam dari sebarang penghinaan, perpecahan, kekeliruan dan kesesatan.

Terbitan : Unit Penerbitan, Bahagian Agama dan Kaunseling, IPK Selangor (28.01.2014)

0 komentar:

Post a Comment

Komen Dengan Berhemah

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | coupon codes