09 March 2011

Pegawai Polis Pertama di Pontian Baca Khutbah

Sumber : Utusan Online (Arkib 19/1/2010)


Pegawai Polis Pertama di Pontian Baca Khutbah, Imam Solat Jumaat

PONTIAN 18 Jan. - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian mencatat sejarah apabila seorang pegawai polisnya telah membaca khutbah Jumaat di Masjid Jamek Bandar Permas di sini pada Jumaat lalu.

Pegawai berkenaan ialah Sub Inspektor Ismail Md. Amin, 51, yang juga Ketua Balai Polis Permas, Kukup di sini. Selepas selesai membaca khutbah tersebut, beliau turut mengimamkan solat Jumaat tersebut.

Ketua Polis Daerah Pontian, Supritendan Zahaliman Jamin berkata, dalam usaha mendekatkan polis dengan orang ramai, pihaknya menggalakkan pegawai dan anggotanya bersolat Jumaat di beberapa buah masjid pada setiap minggu.


Ismail Md. Amin membaca khutbah Jumaat
di Masjid Jamek Bandar Permas, Pontian.

Menurutnya, pendekatan seperti itu telah dimulakan sejak 1999 bertujuan merapatkan hubungan pihaknya dengan masyarakat setempat termasuk masjid-masjid di kawasan luar bandar.

Bagaimanapun katanya, peluang yang diberikan kepada anggotanya membaca khutbah Jumaat merupakan yang pertama kali dilakukan dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid Jamek Bandar Permas.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Agama Daerah Pontian kerana telah memberikan kebenaran kepada Sub Inspektor Ismail membacakan khutbah tersebut," katanya.

Pihak polis turut mengadakan pameran Rakan Cops serta tazkirah daripada Cawangan Bahagian Agama dan Kaunseling (Baka) IPD Pontian selepas solat Jumaat berkenaan selesai. Turut sama bersolat Jumaat ialah Imam Masjid Jamek Bandar Permas, Yusof Ahmad dan Penghulu Mukim Air Masin, Mohd. Ali Ab. Wahab.

Tambah Zahaliman, pihaknya berharap, pendekatan itu dapat mengeratkan lagi perhubungan dua hala antara pegawai dan anggota IPD Pontian khususnya anggota di Balai Polis Permas dengan kariah dan penduduk.

"Langkah ini sekali gus memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat keselamatan dan jenayah dengan adanya hubungan yang rapat antara kedua-dua belah pihak," ujar beliau.

Katanya, program seperti ini akan diadakan di masjid lain pada masa akan datang dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah dan serta jawatankuasa masjid yang akan dipilih kelak.

Sementara itu, Ismail berkata, idea melaksanakan program tersebut tercetus hasil daripada mesyuarat bagi menjayakan aktiviti Polis Bersama Masyarakat di kawasan pentadbirannya.

Katanya, beliau telah mencadangkan pendekatan keagamaan diambil sebagai salah program yang dapat merapatkan hubungan antara polis dengan orang ramai selain aktiviti lain.

"Alhamdulillah, cadangan ini telah dipersetujui IPD Pontian dan telah mengemukakan permohonan kepada Pejabat Agama Daerah," kata bekas Imam Surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor itu.

Beliau yang baru memulakan tugas sebagai Ketua Balai Polis Permas pada 16 Disember tahun lalu, merupakan anak kelahiran Kampung Simpang Kiri, Permas dekat sini.

"Setelah 30 tahun berkhidmat di luar Pontian bermula di Kuala Lumpur dan berakhir di Johor Bahru, saya gembira kerana diberikan peluang mencurahkan bakti di kampung halaman sendiri," ujarnya.

0 komentar:

Post a Comment

Komen Dengan Berhemah

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | coupon codes