20 February 2011

Balu Sarjan Mat Saini Terima Pencen

Shah Alam, 17 Februari 2011 – Majlis penyampaian dokumen dan cek faedah pencen kepada balu Sarjan Mat Saini Omar telah dilangsungkan di Bilik LDP, Bahagian Pengurusan IPD Shah Alam pada jam 5.30 petang.

Zuraidah (kiri) menerima dokumen pencen daripada Chin Kiong.

Penyampaian cek tersebut telah disempurnakan oleh Datuk Yeow Chin Kiong, Pengarah Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan disaksikan oleh Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Zahedi Ayob.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah keluarga balu, kakitangan Bahagian Pengurusan IPD Shah Alam (Cawangan BAKA, Kebajikan dan Tatatertib) termasuk Ketua Bahagian Pengurusan iaitu DSP Azmi Md Said, ASP Yong wakil Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, pegawai-pegawai JPA dan wartawan Sinar Harian. Majlis berakhir kira-kira jam 6.30 petang.

Keratan akhbar Sinar Harian 19/2/2011 mukasurat S6.

Balu Sarjan Mat Saini Terima Pencen

SHAH ALAM – Balu kepada Sarjan Mat Saini Omar, Zuraidah Ram menerima dokumen dan cek faedah pencen yang diserahkan sendiri Pengarah Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Yeow Chin Kiong di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, kelmarin.

"Saya sangat gembira kerana pihak JPA mempercepatkan proses bayaran faedah ini. Ia dapat mengurangkan bebanan untuk menampung keperluan harian dan perbelanjaan sekolah anak-anak saya.", katanya.

Beliau amat berterima kasih kepada kerajaan dan JPA di atas penyerahan faedah pencen itu.

Sementara itu, Chin Kiong berkata, semua penjawat awam yang bersara dan waris kakitangan awam yang meninggal semasa perkhidmatan akan menerima faedah sama mengikut Undang-undang Pencen 1980.

"Faedah ini diberi kepada semua kakitangan awam dan waris sebagai penghargaan kerajaan kepada perkhidmatan yang dilakukan mereka. Faedah ini akan diperolehi mereka seumur hidup," katanya.

Majlis penyerahan itu turut dihadiri Timbalan Pengarah Operasi JPA, Ghazali Hizam dan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob.

Dalam kejadian 2 Februari lalu, Mat Saini ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala di Jalan Mahang, Puncak Alam 2. Mayat Mat Saini, 50, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam ditemui tersandar berlumuran darah di tepi kereta jeni Proton Wira.

Sinar Harian Edisi Selangor, 19 Februari 2011, ruangan Sentral, muka surat S6.

Sementara itu, pada 14 Februari 2011 lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah telah mengadakan majlis bacaan Yasin, tahlil khas untuk arwah Sarjan Mat Saini Omar serta bacaan shalawat berjamaah di Dewan Serbaguna (bangunan baru) IPD Shah Alam, Seksyen 9 bersempena perpindahan ke pejabat atau bangunan baru serta menyambut Maulidur Rasul 1432H.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, DSP Kamaruddin Ismail serta wakil BAKA iaitu Ustaz Abdur Rozaq Ibrahim dan Ustaz Saiful Jamsyir Md Hakim untuk memimpin majlis yang bermula dengan solat Maghrib berjamaah.

0 komentar:

Post a Comment

Komen Dengan Berhemah

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | coupon codes