16 May 2011

SeLaMaT HaRi GuRu 2011

Sejarah Hari Guru (16 Mei)
Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagi Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.


Konsep Guru
Guru adalah ahli ilmu yang menyampai dan mengembang serta menjayakan ilmu dalam masyarakat. Ia merangkumi ilmu pengetahuan mengenai Islam atau pengetahuan umum dengan ciri serta tugas yang perlu mendapat pembelaan sewajarnya dalam masyarakat. Mereka boleh menjalankan tugas dengan berkesan untuk mewujudkan umat yang beriman, berilmu dan beramal.

Dalam Islam, dilihat dari segi sejarah dan ajarannya, ada beberapa istilah yang digunakan mengenai guru. Antaranya ialah mu'allim, murabbi, mu'addib dan mudarris.

Mu'allim ialah guru yang menjayakan proses penyampaian dan pembangunan ilmu dalam diri manusia (ta'lim). Dalam al-Quran, proses ta'lim ini dimulakan sendiri oleh Allah dalam ayat yang bermaksud: Dan Allah ajarkan kepada Adam (hakikat) segala nama.(Q.2.31) Kemuliaan Nabi Adam dengan mendapat taklim daripada Allah. Dengan memiliki ilmu menjadikannya sebagai makhluk paling mulia. Allah memerintahkan malaikat sujud memuliakannya, bukan sujud ibadat.

Guru sebagai mu'allim, mengajar dan mengembangkan ilmu serta menjayakannya dalam masyarakat - satu usaha suci dan mulia. Dengan itu, kemuliaan kedudukan guru dalam sejarah dan masyarakat Islam terjamin. Sikap memuliakan guru dan ilmu pengetahuan oleh umat Islam mendapat sanjungan tinggi daripada Franz Rosenthal dalam bukunya Knowledge Triumphant.

Beliau berpendapat sukar untuk dicari peradaban seperti Islam yang memuliakan ilmu pengetahuan dan guru. Kedudukan mulia diberikan kepada guru, walaupun mereka bukan berstatus ulama.

Guru dipanggil juga sebagai murabbi, iaitu guru yang mendidik (menjayakan tarbiah). Mereka menjayakan peningkatan murid dari segi akal, rohani, jiwa dan fizikal. Mereka bertanggungjawab membentuk murid yang memiliki peribadi yang baik.

Apa yang berlaku ialah proses peningkatan dalam diri murid. Guru yang mempunyai kemampuan sebagai murabbi - apa lagi murabbi dalam pengertian kerohanian - dipandang mulia dalam Islam kerana mereka mempunyai keperibadian yang mampu membawa manusia ke jalan kebaikan dan kebenaran sebagaimana yang dikehendaki Allah dan RasulNya. Alangkah beruntung dan bahagianya masyarakat dengan adanya guru yang bukan sahaja menyampaikan mata pelajaran kepada murid, tetapi turut meningkatkan peribadi dan kemampuan mereka.

Guru yang berfungsi sebagai murabbi dan penuh iltizam diperlukan oleh masyarakat dan umat Islam dalam menghadapi pelbagai cabaran yang dihadapi Islam. Peradaban guru sedemikian sifatnya mampu menyelesaikan banyak masalah. [
+]


Bunga Sirih untuk Guru
Guru adalah Ibu pengasuh budiman
guru adalah ratu lebah
lalu memujuk membelai kelopak
cinta kasih sayang
lilinnya berbunga sinar cahaya
madunya berbunga penawar jiwa.

Guru adalah penyu pengasih
lalu menabur bunga telur
baktinya segar mewangi
sepanjang pantal zaman.

Guru adalah lampu penyuluh
pedoman kehidupan
guru adalah pendakwah
lalu mengikut jejak Nabi Muhammad
memimpin insan
ke jalan lurus ke padang luas.

Bunga sirih bunga pirtang
terima kasih terima savang
budi bicara guru berjasa
kami sanjung tinggi.

J.M. Aziz
Rumah Puisi
Seberang Takir
Kuala Terengganu



Kerjaya Guru Sebagai Ibadah

Menurut konsep perguruan dalam islam ,pendidik atau guru merupakan murabbi,mualim,muadib,alim atau ulamak. Hal ini menunjukkan guru merupakan profesion yang mulia dalam perspektif agama islam. Guru juga dikelaskan sebagai:

a) Al-mu'allim - menyampaikan ilmu yang benar
b) Al-murabbi - menjayakan proses tarbiah
c) Al-mu'addi - mengajarkan adab dan budi pekerti
d) Al-mursyid - membentuk kepimpinan insan
e) Al-mudarris - menitipkan pelajaran dan kemahiran
f) Qdwatun hasanah - beri contoh yang baik

Di samping itu, guru pergi ke sekolah dianggap sebagai pergi ke medan jihad kerana mereka mereka bertindak untuk menentang, membasmi dan mencegah kejahilan,kelemahan,kealpaan, kemunduran dan kehinaan akibat tidak berilmu pengetahuan.

Mengajar dengan perasaan ikhlas dan tanpa sebarang muslihat dan tipu helah dianggap sebagai suatu ibadah. Oleh itu, keikhlasan guru dalam mencurahkan ilmu akan menjadi keberkatan kepada pelajar. wahyu yang diturunkan dalam Surah Iqra, menyeru manusia untuk menuntut ilmu dan mencari keredaan Allah.

Ilmu membentuk keperibadian yang tinggi (bersih dan suci) serta minda yang terbuka. Semua itu diadun dari curahan ilmu dari guru dan pendidik yang mengajar. Ilmu ibarat mutiara yang bernilai tinggi apalagi ilmu yang bersangkutan dengan ilmu ketuhanan.

Tugas dan tanggungjawab guru bukan hanya mendidik malah membimbing pelajar ke jalan kebenaran, ke jalan takwa dan menunjuk jalan akhirat. Guru hendaklah menyedari bahawa tugas mendidik anak bangsa merupakan suatu amanah Allah Taala yang tidak boleh disia-siakan.

Guru juga mengamalkan konsep kerjayanya sebagai suatu ibadah dalam melaksanakan prinsip-prinsip “Maqasid Assyariah” (menjaga, memelihara dan memperkasakan agama, akal, nyawa,keturunan dan harta). Guru menggembeling tenaga dalam menyemai benih-benih keimanan, ketaqwaan dan keinsafan kepada generasi sekarang dan akan datang.

0 komentar:

Post a Comment

Komen Dengan Berhemah

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | coupon codes